Friday, October 23, 2009

BAJET 2010

Intipati bajet sulung Najib

1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.

2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.

3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.

6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.

8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).

9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.

11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.

14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.

15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.

17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.

18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.

19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.

20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.

21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.

22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.

25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.

26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.

27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.

28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah. BERNAMA

Thursday, October 22, 2009

OH "RASUL MELAYU"...BERTAUBATLAH...

‘Rasul Melayu’ dipenjara 10 tahun


Abdul Kahar Ahmad

SHAH ALAM 21 Okt. – Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad dihukum penjara 10 tahun dan sebatan enam kali serta denda RM16,500 selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya, empat tahun lalu.

Hakim Abu Zaky Mohammad memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh Abdul Kahar, 59, ditangkap pada 16 September lalu. Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam dekat sini untuk tempoh enam bulan terakhir daripada hukuman tersebut.

Hakim tersebut memerintahkan hukuman:

Penjara tiga tahun dan sebatan enam kali bagi tuduhan menyebarkan doktrin palsu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor (EJSNS) 1995.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi tuduhan mempersendakan ajaran Islam mengikut Seksyen 10 EJSNS.

*Penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12 EJSNS.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun atas kesalahan mengaku sebagai rasul.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam mengikut Seksyen 8(a) EJSNS.

Dalam penghakiman setebal 55 muka surat yang dibaca hampir dua jam itu, Abu Zaky menyifatkan kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Kahar amat serius serta mengancam keselamatan agama, bangsa dan negara.

‘‘Persoalan membabitkan akidah adalah persoalan pokok yang membezakan antara iman dan kufur serta syurga dan neraka. Dalam kes ini, ia bukan sahaja melibatkan tertuduh, malah turut menjerumuskan masyarakat dalam ajaran yang bertentangan dengan Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, pengakuan taubat Abdul Kahar juga menimbulkan keraguan kerana hanya dibuat selepas dia ditahan selain peguam tidak membuktikan bahawa ia benar-benar ditulis oleh tertuduh tanpa sebarang paksaan.

Jelas beliau, taubat nasuha bukan sekadar kata-kata, tetapi ia juga perlu diikuti dengan niat dan perbuatan seperti solat taubat, beristighfar serta tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Semasa menyebut nama Rasulullah SAW, beliau sempat bertanya Abdul Kahar sama ada tertuduh percaya kepada nabi dan menyuruh tertuduh berselawat. Sambil berdiri Abdul Kahar mengaku dia percaya dan melafazkan selawat.

Abu Zaky turut menolak alasan Abdul Kahar bahawa dia seorang yang jahil serta tidak bersekolah tinggi kerana katanya negara kita mempunyai masjid dan imam yang mencukupi untuk membolehkan seseorang belajar ilmu agama.

Beliau turut memberi penjelasan panjang lebar tentang hukuman sebat syariah bagi membetulkan salah faham di kalangan masyarakat selain untuk menerangkan perbezaannya dengan sebatan sivil.

Hukuman terhadap Abdul Kahar disambut dengan tangisan oleh anak-anaknya yang turut berada di galeri awam. Dia dilihat memeluk mereka sebelum dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Abdul Kahar pertama kali didakwa atas lima pertuduhan pada 2005. Semua kesalahan itu dilakukan antara 2 dan 19 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang dekat sini.

Bagaimanapun tertuduh gagal hadir ke mahkamah sejak 2006 sehingga waran tangkap dikeluarkan selain ganjaran ditawarkan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya.

Selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Abdul Kahar berjaya ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika sedang menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Hulu Langat, Kajang, pukul 9.45 pagi pada 16 September lalu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid dan dua pegawai pendakwa syarie, Muhammad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md. Yusof.

Tertuduh diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif dan Ridzuan Husin yang menyebut bagi pihak peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais.

Thursday, October 1, 2009

Salah laku murid meningkat

PUTRAJAYA 30 Sept. – Kadar salah laku disiplin murid sekolah rendah termasuk penyalahgunaan dadah mencatat peningkatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ia berbeza dengan pelajar sekolah menengah yang menunjukkan penurunan dalam kes tersebut dalam tempoh yang sama.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, walaupun peningkatan masalah disiplin di sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus, pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.

Secara keseluruhan, katanya, dalam tempoh enam bulan pertama ini, jumlah murid yang terlibat dengan salah laku disiplin ialah 1.26 peratus iaitu menurun 0.01 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2008.

“Isu yang melibatkan disiplin murid secara keseluruhannya berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul, gaduh, ponteng sekolah serta masalah disiplin ringan.

“Peningkatan yang berlaku di peringkat sekolah rendah membabitkan ponteng sekolah, kekemasan diri dan kurang sopan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Disiplin kali ke-2 bersama polis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan-kesatuan guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya menurun daripada 1.96 peratus tahun lalu kepada 1.93 peratus tahun ini.

Statistik kementerian menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Ka Siong berkata, jumlah aduan disiplin murid yang diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini ialah 65 kes, menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Tugas mendisiplinkan pelajar antara tugas utama guru, mana-mana pengurusan sekolah yang didapati cuai dan lalai dalam usaha ini akan dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut, antara cadangan bagi menangani isu disiplin ialah pembayaran elaun tanggungjawab dan pengurangan waktu mengajar bagi guru kanan disiplin di sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, mewujudkan jawatan warden di semua asrama sekolah di seluruh negara dan mengecilkan nisbah guru kaunselor daripada 1:500 kepada 1:300.

Ia juga mencadangkan diperkenalkan program rintis Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) di 116 sekolah menengah, pelaksanaan piawaian keselamatan sekolah dan kerjasama erat dengan NGO dan Majlis Pemangkin Aspirasi Nasional (Mapan), Persatuan Psikologi Malaysia dan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).