Tuesday, February 24, 2009

Kita Di Tahap Mana???

Rasulullah telah mengkategorikan penuntut ilmu kepada 3 golongan dan
membandingkan mereka kepada keadaan tanah.

1. Tanah yang gembur yang apabila menerima air hujan, tanah ini akan
menyerap air tersebut dan daripadanya tumbuhlah pelbagai jenis
tanaman yang menghasilkan buah-buahan yang manis dan enal dimakan.
Ini umpama orang yang menerima ilmu dan mengambil ilmu itu untuk
dirinya dan mengajarkannya pula kepada orang lain untuk melahirkan
generasi yang berilmu dan bermenfaat kepada masyarakat.

2. Tanah yang kedua ialah tanah yang dapat menakung air, tetapi air
itu tidak meresap ke dalam tanah dan tidak dapat digunakan oleh
tumbuh-tumbuhan.
Ini umpama orang yang menerima ilmu tetapi mereka menyimpan ilmu itu
untuk diri sendiri dan tidak dapat memberi menfaat kepada orang lain.

3 .Tanah yang ketiga amat keras permukaannya dan langsung tidak dapat
menerima air hujan. Air hujan yang jatuh ke atasnya tidak akan
diserap, malah akan terus mengalir ke dalam longkang.
Ini umpama orang yang langsung tidak menuntut ilmu dan oleh itu
jadilah ia orang yang tidak berilmu dan tidak memberikan menfaat
kepada dirinya apatah lagi kepada orang lain…dan inilah yang paling
ramai dalam masyarakat MELAYU hari ini.


Kita digolongan mana?


_________________
tiDakKan mIsKIn jikA meMbeLA ISLAM......
TIdak hiNA meRIBA kebeNaraN yang MULia...

SIDANA 09


SIMPOSIUM PERDANA MAHASISWA ISLAM( SIDANA 09' )

Tarikh : 28 Februari 2009 (Sabtu)
Tempat : Auditorium Fakulti Pendidikan UM
Masa : 8.00 - 12.00 malam

Ucapan perasmian SIDANA ’09
Oleh : Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Forum Sempena SIDANA ’09
”Mahasiswa Tempatan vs Mahasiswa Luar Negara”

Moderator:
Sdr. Shazni Munir Mohd Ithnin
Mahasiswa Universiti Malaya

Panelis 1:
Sdr. Mohd Ramadhan Fitri Elias
Mantan YDP MPMUM Sesi 2003/2004

Panelis 2:
YB Dato’ Mukhriz Tun Mahathir
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia

Panelis 3:
Prof. Datuk Dr. Annuar Zaini
Profesor,
Monash University.

Tarikh : 1 Mac 2009 (Ahad)
Tempat : Auditorium Fakulti Pendidikan UM.
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang

Ucaptama
Oleh:Prof Datuk Dr Gauth Jasmon
Naib Canselor
Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Pembentangan Kertas Kerja 1
Tema : Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat
Oleh : YB Saifuddin Nasution
Ahli Parlimen Machang.

Pembentangan Kertas Kerja 2
Tema : Mahasiswa Menggugat di Era Baru
Oleh : Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar
Dekan Fakulti Sastera UM.

Pembentangan Kertas Kerja 3
Tema : Pengukuhan Kesatuan Mahasiswa Islam
Oleh : Sdr. Muhammad Hisommudin Bakar
Mantan Presiden MPMUM Sesi 2001/2002.

Pembentangan Kertas Kerja 4
Tema : Membentuk Mahasiswa Islam Yang Berdaya Saing Dalam Memacu Ekonomi Masa Depan
Oleh : Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh
CEO Nadicorp Berhad.


P/S: "PAKAT-PAKAT MARI LA BLAKO TU"

Sunday, February 22, 2009

Oh Pelajar Melayu....

utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 22 Feb. – Dewan Industri Buku Malaysia (DIBM) melahirkan kebimbangan mengenai kurangnya minat membaca buku di kalangan pelajar Melayu pada masa ini terutama pelajar institusi pengajian awam.

Presidennya, Datuk Ghani Ngah berkata, perkara tersebut turut diperkatakan di kalangan pihak media dan pakar akademik yang melahirkan kebimbangan mereka mengenai tahap penurunan minat membaca buku di kalangan pelajar Melayu sejak kebelakangan ini.

Katanya, DIMB percaya keadaan itu berlaku disebabkan pergantungan pelajar atau remaja terhadap kemudahan Internet yang dianggap lebih mudah dalam menyalurkan pelbagai maklumat yang diperlukan oleh mereka.

‘‘DIMB berharap agar pihak berkaitan terutama dari pihak kerajaan sendiri perlu mencari formula berkesan untuk menarik kembali minat pelajar Melayu terhadap pembacaan pelbagai jenis buku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Islam anjuran Universiti Multimedia kampus Melaka (MMU) di sini hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, pelajar Melayu itu sendiri perlu mengubah persepsi mereka terhadap aktiviti membaca bagi memastikan generasi akan datang tidak cetek ilmu pengetahuan.

Katanya, senario membimbangkan itu timbul disebabkan kesilapan pelajar dan masyarakat sendiri yang beranggapan membaca itu hanya untuk lulus peperiksaan.

‘‘Akibat pandangan itu, kebanyakan pelajar hanya akan membaca sebagai persediaan untuk lulus peperiksaan dan apabila selesai, buku tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa perlu dibaca semula atau untuk rujukan selanjutnya.

‘‘Sikap membaca ini adalah untuk semua peringkat, ia bukan hanya untuk mempersiapkan pelajar menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata, buku masih berperanan dan merupakan alat berkesan untuk menyalurkan pelbagai maklumat kepada pembaca berbanding kemudahan Internet yang masih bergantung kepada kesesuaian peralatan dan talian tetap.

Pada masa yang sama, katanya, jika dilihat mengenai sambutan pengunjung pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April lalu, pihaknya mendapati hampir 85 peratus daripada kira-kira tiga juta pengunjung terdiri daripada orang Melayu.

625,987 guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) mendedahkan 625,987 murid tidak menjawab kertas soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad (gambar) berkata, keputusan UPSR tahun lalu menunjukkan hanya 159,234 murid daripada 511,875 murid tahun enam menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris manakala 352,641 murid menjawab dalam bahasa Melayu sejak pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

‘‘Bagi Matematik pula, 238,153 murid daripada 511,499 yang menduduki peperiksaan itu menjawab dalam bahasa Inggeris manakala 273,346 menjawab dalam bahasa Melayu.

‘‘Ia menunjukkan seramai 625,987 murid tidak memahami untuk menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,’’ katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, kajian juga telah dilakukan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada 50 pensyarah dari tujuh buah universiti dalam negara.

Katanya, kajian yang dibuat terletak di bawah penyeliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Menurutnya, hasil kajian menunjukkan beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar gagal mata pelajaran Sains dan Matematik melebihi 50 peratus.

Tambahnya, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menunjukkan kejatuhan bagi pelajar Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

‘‘Kajian yang dibuat di 70 buah sekolah menengah dan 90 buah sekolah rendah di seluruh negara juga menunjukkan berlakunya kemerosotan dalam mata pelajaran tersebut.

‘‘Ia menunjukkan PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar,’’ katanya

Menurut Hassan, ia jelas menunjukkan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar sebaliknya membebankan pelajar.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk Bahasa Inggeris di setiap sekolah.

Tambahnya, wakil kerajaan perlu ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk memantau sistem yang digunakan dalam P&P bahasa tersebut.

‘‘Sistem P&P untuk Bahasa Inggeris perlu diubah dan diperkemaskan terlebih dahulu supaya menjadi bahasa kedua yang dikuasai pelajar bukannya mengajar bahasa tersebut dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

‘‘Selain itu, jadikan negara-negara Eropah sebagai model di mana mereka mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda, tetapi menggalakkan pelajarnya menguasai pelbagai bahasa,’’ katanya.

Kaitan Motivasi Dengan Gear Basikal...

by : al_faranji

Bila anda melihat pada susunan gear sebuah basikal lumba, sudah pasti Anda perasan ada 8-9 susunan gear di roda belakang dan 2 saiz gear di bahagian pedal.

Bila mendaki bukit, biasanya seorang pelumba basikal akan menggunakan gear rendah tapi mengayuh pedal dengan laju. Bila dijalan lurus, dia menggunakan gear tinggi dengan kadar kayuhan yang lebih laju berbanding ketika mendaki bukit.

Saya kaitkan dengan tahap motivasi kita. Bila berdepan dengan cabaran hebat (ibarat sedang berkayuh mendaki bukit) Anda menukar ke gear rendah yang lebih ringan lalu mengayuh pedal basikal dengan laju untuk membolehkan Anda bergerak pada momentum tinggi, walaupun ketika berlumba mendaki bukit.

Ibarat berdepan dengan cabaran hebat tadi, Anda menukar approach, menukar strategi, mendoublekan motivasi supaya Anda jadi lebih bersemangat! (terus laju walau berlumba mendaki bukit)

Bila sudah cabaran reda, Anda gandakan lagi usaha (ibarat mengayuh dengan lebih laju di jalan lurus) dan maintain motivasi pada tahap tinggi secara konsisten setiap hari supaya Anda sentiasa membara dengan semangat dalam mengejar kejayaan.

Inilah kaitan motivasi dengan gear basikal seperti yang maksudkan.

Bila berdepan cabaran, Anda hanya perlu merubah strategi, saya kiaskan dengan menukar gear basikal. Anda tidak perlu berhenti. Andai kiranya Anda berhenti mencuba, maka Anda telah gagal, gagal sebenar-benar gagal.

Ibarat seorang pelumba basikal yang mengalah dari cuba berlumba hingga ke garisan penamat, Anda berhenti di tepi jalan, mengangkat basikal lalu pergi, give up pada cabaran.

Mulai hari ini, latih diri Anda supaya bermotivasi, agar sentiasa bersemangat mengejar matlamat Anda.

Perlu kuat semangat, perlu kuat menghadapi cabaran.

Sunday, February 8, 2009

Jadilah pendengar yang baik.

By: al_faranji

Tahukah anda sebanyak 45% masa komunikasi kita banyak dihabiskan untuk mendengar berbanding berbual (35%), membaca (16%) dan menulis (9%) berdasarkan sebuah kajian. Inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini, anda menumpukan kebanyakkan masa pembelajaran di kelas untuk mendengar dan bersuara apabila di penghujung waktu melalui sesi soal jawab antara guru dan murid. Sedar atau tidak, melatih diri anda menjadi pendengar yang baik secara langsung membentuk personaliti anda agar peka kepada orang lain.

Bayangkan seorang sahabat yang anda kenali dan paling rapat dalam hidup. Mengapa individu yang dipanggil sahabat karib dalam hidup anda sentiasa lekat di hati dan fikiran. Tidak lain tidak bukan, kerana sahabat karib adalah sahabatyang sedia mendengar. Anda lebih mudah cenderung kepada individu yang bersedia mendengar cerita pahit manis anda dan inilah salah satu karakter personaliti yang cemerlang.

Seorang ahli teologi, Henri Nouwen mengatakan mendengar bukan sahaja proses bagi seseorang berhenti seketika untuk memberi peluang orang lain berkata-kata sebelum memberi respon, Mendengar adalah memberi sepenuh perhatian dan menerima individu tersebut dalam hidup anda.

Anda boleh menjadi pendengar yang baik sebagai cara untuk belajar dari orang lain. Donald Trump, seorang jutawan hartanah di Amerika Syarikat yang kini popular dengan rancangan Apprentice mendedahkan rahsia bagaimana beliau menjadi kaya dengan sikap suka mendengar. Katanya, apabila pertama kali berurusan dengan seseorang yang baru dikenalinya, beliau tidak akan sekali-kali menceritakan segala-galanya berkenaan urusniaga tersebut. Sebaliknya, Trump akan sekadar menyebut satu dua perkara dan membiarkan individu tersebut menceritakan segala-galanya. Dari situ beliau mengetahui sama ada individu tersebut benar-benar berminat untuk berurus niaga dengannya atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk.

Anda perlu mengenalpasti apakah gaya pendengaran yang anda miliki sekarang agar anda tahu menggunakannya sebaik-baiknya. Gaya pendengaran bermaksud bagaimanakah anda menerima cara orang lain berkomunikasi dengan anda dengan cara yang paling selesa untuk diterima. Penyelidik Kitty Watson, Larry Barker dan James Weaver mengenalpasti empat gaya pendengaran yang dipraktikan oleh orang ramai.

01. Pendengar berorientasi orang lain.

Pendengar dalam kelompok ini lebih menggunakan pendekatan rasa hati apabila mendengar apa sahaja yang dibicarakan. Mudah berempati terhadap perasaan dan emosi orang lain adalah karakter utamanya. Pendengar mewujudkan ikatan peribadi dengan individu tersebut dan cenderung menjadikan dirinya sebahagian dari kisah yang disampaikan kepadanya. Kelompok ini mudah mendampingi orang lain sama ada dalam kumpulan kecil atau secara peribadi. Sekiranya anda mudah mengalirkan air mata dengan kisah orang lain, bergembira dengan kejayaan individu lain ia menandakan anda menggunakan pendekatan ini untuk berkomunikasi melalui gaya pendengaran ini.

02. Pendengar berorientasi tindakan.

Pendengar dalam kelompok ini lebih cenderung mendengar sesuatu yang jelas, tersusun butir bicaranya, ringkas dan tidak ada kesilapan atau keraguan dalam mesej yang disampaikan. Tidak suka kepada mesej yang berjela-jela dan menyimpang dari topik asal adalah ciri-ciri utamanya. Sekiranya anda mudah rimas dengan cerita yang panjang, berasa tidak senang duduk apabila anda tidak dapat menangkap maksud mesejnya yang belum ada titik noktah, mudah memahami mesej yang ringkas maka anda menggunakan gaya pendengaran ini. Para pengkaji mendapati mereka yang mempunyai gaya pendengaran ini mempunyai kecenderungan untuk membuat andaian kedua dalam mesej yang diterimanya. Sikap untuk mentafsir semula mesej yang diterimanya bertujuan untuk memastikan mesej yang diterima adalah tepat.

03. Pendengar berorientasi isi kandungan.

Pendengar dalam kelompok ini lebih cenderung mendengar mesej yang mendalam, teliti dan kompleks. Mereka dalam kategori ini akan mencari-cari fakta, huraian dan bukti yang wujud dalam mesej yang diterimanya. Sekiranya ciri-ciri ini tidak dipenuhi, maka mesej tersebut akan tertolak. Sebagaimana pendengar berorientasi tindakan, kategori ini berkecenderungan untuk membuat andaian kedua dalam mesej yang diterimanya. Pada masa yang sama mudah untuk mendampingi orang lain sama ada dalam kumpulan kecil atau secara peribadi.

04. Pendengar berorientasi masa.

Pendengar dalam kumpulan ini mempunyai pelbagai agenda di kepalanya. Terlalu banyak perkara yang ingin dibuatnya, maka apa yang didengari harus tidak mengambil masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Mereka yang menginginkan mesejyang ringkas dan mudah. Kebiasaannya mereka cenderung melakukan dua perkara dalam satu. Misalnya mendengar radio sambil menaip di hadapan komputer, memandu sambil mendengar radio atau membaca akhbar ketika waktu iklan di televisyen.

Anda berkemampuan untuk mengaplikasi keemapt-empat katogeri gaya pendengaran yang dibincangkan sebelum ini bergantung kepada jenis individu anda berinteraksi, tempat dan masa yang anda luangkan untuk situasi tersebut. Tidak bermakna anda perlu berpegang hanya kepada satu kaedah sahaja semata-mata. Ingatlah bahawa manusia adalah unik dan berbeza-beza, begitu juga pendekatan anda harus berubah-ubah bergantung kepada keadaan.

Pada masa yang sama, seandainya anda sedang berkomunikasi dengan rakan-rakan atau ahli keluarga dan jiran-jiran yang anda kenali, mungkin anda boleh menggunakan pendekatan yang sesuai dengan gaya pendengaran mereka. Ini secara tidak langsung membuat mereka terpikat dengan kepekaan anda terhadap keperluan mereka dan menjadikan mereka akrab dengan anda.

Sekiranya anda seorang pemimpin persatuan, kelab atau menganggotai badan pengawas, anda bermain dengan masa apabila mengendalikan mesyuarat. Maka anda perlu menggunakan gaya pendengaran berorientasi masa dan tindakan. Sebaliknya jika sahabat anda menghubungi anda ingin meluahkan masalah keluarganya, anda boleh menggunakan gaya pendengaran berorientasi orang lain untuknya.


GURU CEMERLANG LAHIRKAN ANAK DIDIK GEMILANG

by: al_faranji

GOLONGAN ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.
Mendidik manusia yang berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang berterusan. Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang tinggi, sebagaimana firman Allah SWT:

Bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah Al-Mujaadah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid mereka dengan penuh semangat dan kesungguhan, di samping mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan, semoga dengan itu apa yang diajarkan, akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid, dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang mereka pelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya dengan itu segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid-murid, Imam Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :

Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep).
Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.
Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi.
Guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zamannya sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Golongan guru atau ilmuan juga pernah disebut oleh Rasulullah SAW seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan samada di darat atau di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik, bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan di masa-masa yang akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud :

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan para ilmuan serta ahli profesional yang lain, sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan para ilmuan perlu diingati, Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada 7 :

Jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab.
Jangan halang jika dia hendak berdiri.
Jangan buka rahsia di hadapannya.
Jangan mengumpat orang di hadapannya.
Hormatlah dia kerana Allah.
Jangan duduk membelakanginya.
Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya.
Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah disebut oleh Islam :

Memberi layanan yang baik dan beradab terhadap guru.
Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita.
Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama'-ulama' dan ilmuan dalam peradaban Islam.
Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya.
Sentiasa mendoakan guru dan bekas-bekas guru, agar di tempatkan bersama para Solehin.
Jesteru itu, marilah kita bersatu hati bersama para guru, menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan, agar terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang, kerana negara akan maju jika rakyatnya berpengetahuan dan berkemahiran, negara akan aman, jika rakyatnya beriman serta mengamalkan ajaran Islam. Negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah-belah dan negara akan mundur sekiranya rakyat malas dan lemah.

Friday, February 6, 2009

GAMIS Ketuai Front Mahasiswa Respon Isu Politik Perak

Kuala Kangsar, 6 Feb - Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) hari ini bakal mengetuai front mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Pro Mahasiswa Nasional dalam menggesa seluruh mahasiswa terutamanya sekitar Perak agar turun dalam Himpunan Mahasiswa Bersama Rakyat Perak pada pukul 3 Petang ini selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Ubudiyyah Kuala Kangsar.

Himpunan yang dijangka melibatkan 1000 mahasiswa itu akan diadakan ini bertujuan memberitahu kepada kerajaan baru negeri Perak di bawah Barisan Nasional kini bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang terlalu rapuh dan bakal mencetuskan kegawatan politik lebih dahsyat kepada tanah air dan negeri Perak sendiri.

Himpunan ini juga untuk mahasiswa merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak bagi memperbaharui mandat rakyat selepas keputusan 8 Mac seolah-olah sudah tidak dipedulikan ahli-ahli Parlimen yang melompat.

Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi ketika mengadakan sidang media petang semalam menyatakan keputusan yang dibuat oleh GAMIS tersebut adalah merasakan kepentingan fungsi mahasiswa dalam mengepalai gerakan mengembalikan budaya berpolitik yang sihat di pentas demokrasi yang mesti tunduk pada kuasa majoriti rakyat.

“Kami di peringkat GAMIS melihat suara mahasiswa kali ini perlu didengari supaya semua pihak bertindak mengembalikan budaya berpolitik yang sihat dan bermaruah di pentas demokrasi negara ini yang tunduk kepada kuasa majority rakyat, , bukannya adegan badut-badut politik murahan yang menjadi buah catur politikus berkepentingan sehingga rakyat yang terkorban ,”ujar beliau.

Beliau juga menggesa seluruh pencinta keadilan tanpa mengambilkira ideologi politik, bangsa dan agama untuk hadir bagi mengembalikan kestabilan politik di Perak. -mahasiswakini

Thursday, February 5, 2009

GURU SEBAGAI PENGGERAK MOTIVASI

by: al_faranji


Sebagai bakal seorang guru, kita mestilah memiliki pelbagai tanggung jawab dan
tugas yang harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesi
guru.Tugas utama dan terpenting yang menjadi tanggung jawab seorang
guru adalah memajukan, merangsang dan membimbing pelajar dalam
proses belajar. Segala usaha kearah itu harus dirancang dan
dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah
guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran.
Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha
memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta
menggerakkan motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang
maksimum.

Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat
melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:

1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.

2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.

3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan
keperluan dan minat pelajar.

4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.

5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.

6. Melaksanakan penilaian diagnostik.

7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.

Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus
dilakukan oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika
guru telah berjaya membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan
pembelajaran bermakna guru itu telah berjaya mengajar. Namun
pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar tidak hanya
menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga
mengarahkan dan menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara
terus menerus, walaupun dia berada di luar kelas ataupun setelah
meninggalkan sekolah.

Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar
merupakan tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka
pendekatan Behavioristik perlu kita jadikan pedoman dalam mengajar.
Para pakar Behavioristik mengemukakan bahawa motivasi ditentukan
oleh persekitaran. Guru merupakan persekitaran yang sangat
berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu, meningkatkan
motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat penting
bagi guru.

Mengapa usaha memotivasi pelajar itu sangat penting bagi guru?
Sesetengah guru mungkin beranggapan bahawa tugas mereka sebagai guru
hanyalah mengajar sahaja, bukan menimbulkan minat pelajar terhadap
apa yang mereka ajarkan. Guru-guru seperti ini menghabiskan masa
mereka di dalam kelas semata-mata hanya untuk menuangkan bahan
pelajaran kepada pelajar. Mereka tidak peduli sama ada isi pelajaran
yang mereka ajarkan atau yang mereka terangkan itu dapat diterima
oleh pelajar untuk dijadikan sebagai miliknya atau tidak. Mereka
tidak memperhatikan apakah bahan yang mereka ajarkan itu bermanfaat
dan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang
positif. Guru-guru seperti ini tidak menyedari bahawa pelajar-
pelajar yang tidak berminat tidak akan dapat menerima pelajaran
dengan baik.

Pelajar yang tidak berminat terhadap apa yang diajarkan oleh guru
tetapi dia diharuskan mempelajarinya, dapat menimbulkan suatu
perasaan benci terhadap mata pelajaran itu, bahkan untuk selanjutnya
pelajar itu tidak akan ingin pernah mempelajarinya. Di dalam kelas
yang kita ajar mungkin kita akan mendengar pelajar berkata, "Saya
tidak mampu belajar Bahasa Inggeris" atau "Saya tidak dapat belajar
matematik." Jika kita teliti permasalahannya, bukan kerana kedua-dua
mata pelajaran tersebut sukar atau tidak menyenangkan, tetapi kerana
guru kedua-dua mata pelajaran itu tidak menggunakan strategi yang
berkesan, sehingga pelajar tidak tertarik untuk mempelajarinya.
Pelajar tidak bermotivasi, malahan merasakan mata pelajaran tersebut
menjadi menyiksa mereka.

Guru seharusnya menggunakan masa yang banyak sewaktu mengajar untuk
memotivasi pelajar-pelajarnya. Pelajar yang termotivasi dengan baik
dalam pelajaran akan melakukan lebih banyak aktiviti dan lebih cepat
belajar jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang atau tidak
termotivasi semasa belajar. Ini memandangkan, jika guru dapat
membangunkan motivasi pelajar terhadap pelajaran yang diajar maka
diharapkan pelajar akan sentiasa meminati mata pelajaran tersebut.

Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah
merupakan suatu proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki
pelbagai pengalaman yakni proses belajar sedang berlangsung; (2)
proses menimbulkan semangat dan keaktifan pada diri pelajar sehingga
dia benar-benar bersedia untuk belajar; dan (3) proses yang
menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah atau tujuan
pada satu masa, iaitu tujuan belajar.

Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi
sikap belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi
untuk belajar akan sangat tertarik dengan berbagai tugas belajar
yang sedang mereka kerjakan; menunjukkan ketekunan yang tinggi;
variasi aktiviti belajar mereka pun akan lebih banyak. Di samping
keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka juga kurang
menyukai tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah
disiplin.

Oleh kerana itu, dalam upaya menjaga dan meningkatkan disiplin kelas
maka motivasi pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna
meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar merupakan suatu cara
yang baik dalam menghindari tingkah laku pelajar yang negatif,
kerana mereka terlibat aktif dalam belajar dan terangsang untuk
belajar.

Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan
motivasi pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri.
Kita sebagai guru ingin agar pelajar selalu terdorong untuk
mengembangkan minatnya untuk belajar walau di mana pun dia berada.
Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa ingin menimba
pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari bimbingan
kita. Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan
dalam diri pelajar suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk
belajar. Hal ini akan menjadi suatu kecenderungan dan kebiasaan
dalam melakukan proses belajar selanjutnya.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana caranya kita semasa
melakukan pelbagai usaha untuk membangun dan mengembangkan motivasi
pelajar semasa belajar? Para pakar Humanistik, misalnya Carl Rogers,
seorang pakar psikologi mengemukakan bahawa pada dasarnya di dalam
diri setiap manusia ada keinginan yang sangat kuat untuk belajar
yang bersifat semulajadi. Jadi, di dalam diri pelajar keinginan itu
sudah ada. Guru hanya mengembangkan atau memupuk keinginan itu
sehingga keinginan belajar itu dapat direalisasikan dalam bentuk
prestasi yang maksimum. Para pakar Behavioristk pula, misalnya B.F.
Skinner, seorang pakar pendidikan mengemukakan bahawa motivasi
pelajar sangat ditentukan oleh persekitarannya. Pelajar akan
termotivasi semasa belajar jika persekitaran belajar dapat
memberikan rangsangan sehingga pelajar tertarik untuk belajar. Guru
harus mengatur persekitaran atau suasana belajar secara bijaksana
sehingga pelajar termotivasi untuk belajar.

Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai
pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan
meningkatkan motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses
belajar yang dibimbingnya berjaya secara optimal. Oleh kerana itu,
guru perlu memahami dan menghayati serta menerapkan pelbagai prinsip
dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan meningkatkan motivasi
pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip dan teknik
yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam
usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan
teknik yang paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang
masa, dan untuk semua situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza
keperibadian pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut
perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam memotivasi pelajar.
Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian pelajar dan
keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih prinsip-
prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi pelajar.

Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri dari kelompok yang
memiliki kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat,
variasi prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih
banyak. Di dalam kelas mungkin kita akan menemui beberapa orang
pelajar yang mampu memotivasi dirinya sendiri. Pelajar-pelajar
seperti ini tidak banyak memerlukan pertolongan dari guru untuk
merangsang minat mereka dalam belajar, kerana mereka mampu mendorong
diri mereka sendiri. Kebanyakan pelajar akan mempunyai motivasi
belajar jika kita menggunakan berbagai teknik untuk memotivasi
mereka, namun ada pula sejumlah pelajar yang baru akan termotivasi
jika kita melakukan usaha-usaha khusus bagi mereka. Oleh kerana itu
kita sebagai guru hendaklah fleksibel dalam memakai berbagai
pendekatan dalam merangsang minat pelajar dalam belajar, serta mampu
menerapkan berbagai prinsip dan teknik yang berbeza sesuai dengan
keperluan masing-masing pelajar .