Thursday, July 9, 2009

.:. Mawaddah As illah .:.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21]

Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit dari satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.

Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:

SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:

  1. Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?
  2. Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?
  3. Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?
  4. Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?
  5. Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?
  6. Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?
  7. Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?

SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:

  1. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?
  2. Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?
  3. Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?
  4. Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?
  5. Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?
  6. Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
  7. Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

2_286

“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]

Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh dari realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.

Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.

Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.

Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.

Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.

Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?

MB Perak: Nizar dibenar merayu

PUTRAJAYA 9 Julai - Keputusan muktamad siapa Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap perisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal memegang jawatan tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara membenarkan Mohammad Nizar mengemukakan tiga persoalan undang-undang dalam rayuannya kelak.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin bagaimanapun menolak permohonan peguam, Datuk S. Ambiga yang mewakili perayu agar keputusan Mahkamah Rayuan itu ditangguh sementara menunggu rayuan.

Ketika berhujah, Ambiga memohon mahkamah mentafsir Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 sama ada jawatan Menteri Besar perlu dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihatkan Sultan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau turut meminta mahkamah menjelaskan undang-undang melibatkan kuasa memecat Menteri Besar sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan, tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dan beliau tidak meletak jawatan.

Ambiga juga berhujah agar mahkamah mentafsir Perkara 16(6) UTKNP sama ada isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang Dewan atau boleh dibuat di mana-mana sahaja.

Selain itu, beliau menyatakan, mahkamah diminta mentafsir undang-undang sama ada ahli Exco telah dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.

Sementara itu, Ambiga ketika berhujah meminta keputusan Mahkamah Rayuan ditangguh sementara menyatakan, status-quo Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar perlu dikekalkan sehingga Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan muktamad.

Menurut beliau, permohonan itu penting kerana beberapa polisi yang telah diluluskan untuk manfaat rakyat Perak ketika pemerintahan pakatan pembangkang telah ditarik balik pelaksanaannya.

Bagaimanapun, peguam Cecil Abraham yang mewakili Zambry berhujah pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan itu tidak ditangguhkan kerana ia akan membawa maksud bahawa Mohammad Nizar masih seorang menteri besar.

Dalam pada itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah sependapat dengan Abraham bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak perlu ditangguh kerana perayu bukan lagi menteri besar.

Sementara itu, Mohammad Nizar pada sidang akhbar selepas prosiding mahkamah menyatakan, tujuan penangguhan perintah itu penting bagi memastikan dasar yang diluluskan ketika pembentangan Bajet 2009 terus dilaksanakan untuk manfaat rakyat Perak.

Menurut beliau, antaranya Tabung Kifalah yang menawarkan RM1,000 kepada warga emas dan Tabung Khas Kebajikan Rakyat yang dikhaskan untuk warga tua terbiar dan anak-anak miskin.

Mohammad Nizar turut menyatakan, beliau bimbang Projek Perkhidmatan Awam Bersepadu, Ipoh Sentral di atas tanah seluas 3.23 hektar melibatkan 14 syarikat pengusaha bas turut dilambat-lambatkan sedangkan ia telah diluluskan.

Selain itu, ujar beliau, perkhidmatan 817 Ketua-Ketua Kampung seluruh Perak telah ditamatkan manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibubarkan.

Beliau turut mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan tanah seluas 14,000 hektar bagi membolehkan beberapa syarikat mengusahakan perlombongan bijih timah dan perjanjian itu tidak boleh ditarik balik.

Dakwanya lagi, satu projek pembalakan di kawasan penempatan Orang Asli di Kampar turut diluluskan sedangkan kedua-dua kerajaan memerintah berjanji untuk tidak melaksanakannya demi kepentingan penduduk di kawasan itu.

Mohammad Nizar mengemukakan kebenaran merayu terhadap keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Md. Raus Sharif pada 22 Mei lalu yang sebulat suara mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara pada 11 Mei lalu yang memutuskan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.