Thursday, April 2, 2009

GERAKAN MAHASISWA ISLAM MENCABAR

GMI SEBAGAI JURUBICARA UMAT

Kematangan atau robotnya pelajar bukanlah tertakluk kepada akta. Di zaman penjajah dahulu, pelajar tiada kebebasan tetapi pelajar tetap tidak menjadi robot malah mereka lebih gigih dan lebih matang, bahkan lagi kuat mereka berjuang. Juteru, pelajar perlu bergerak aktif dalam akta.
Tun Dr. Mahathir Mohammad

Dulunya, masyarakat dan mahasiswa tidak dapat diasingkan, ianya merupakan satu larutan yang terlarut dalam proses pembangunan negara. Tidak hairanlah mahasiswa digelar jurubicara masyarakat, suara rakyat tertindas, hati nurani rakyat dan pelbagai gelaran yang manis bergula daripada rakyat. Pujian tersebut bukan pemanis bicara tetapi telah dibukti dengan semangat dan pengorbanan mahasiswa dalam isu tanah Teluk Gong, isu rumah setinggan Tasik Utara dan isu kemiskinan rakyat Baling. Kebanyakan isu telah berlaku pada tahun 1970an didominasi oleh mahasiswa sosialis yang cukup berpengaruh ketika itu melalui PKPM, ASA, Kelab Sosialis dan PMUM. Mahasiswa Islamis juga terserlah dalam isu perjuangan rakyat tetapi secara selektif dan dilihat mengarahkan perjuangan mereka kepada isu orang Melayu dan isu dalaman kampus. Perkara ini terbukti apabila PMIUM, PKPIM dan sekutu mereka, PBMUM lebih enak memperjuangkan isu Bahasa Melayu dan isu rakyat Pathani.

Era 1980an yang didominasi GMI juga turut terukir dengan pelbagai isu yang berjaya mengegarkan arena politik nasional. Kebangkitan Islam di seluruh alam ini membuatkan GMI menjadi tumpuan gerakan Islam di Malaysia seperti ABIM, PKPIM, PAS, PUM dan al Arqam. Lama kelamaan GMI lebih serasi dengan metode perjuangan PAS. PAS merupakan gerakan Islam ala Ikhwanul Muslimin yang berjuang untuk mewujudkan daulah Islam berdasarkan al Quran dan hadis dan menggunakan pendekatan penyertaan pilihan raya melalui parti politik. Perjuangan GMI pada era 1980an lebih kepada proses pengembalian Islam sebagai cara hidup. Islam mahu dijalankan secara murni dan menyeluruh dalam kehidupan manusia. Oleh sebab itulah, GMI amat berpantang dengan aktiviti kemungkaran di kampus seperti konsert dan judi. Di bawah adalah huraian ringkas isu yang melibatkan GMI di Malaysia;

BANTAHAN PENINDASAN KERAJAAN THAI TERHADAP ORANG ISLAM DI SELATAN THAI

Demonstrasi ini merupakan anjuran pertama kelompok Islamis di kampus Universiti Malaya dengan kerjasama PKPIM. Selama ini PMIUM hanya mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh PBMUM. PMIUM mengorak langkah mengembleng tenaga mengumpulkan pelajar Islam di kampus bagi menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang menimpa umat Islam di selatan Thai. Perjuangan rakyat Patani dilihat sebagai warga tertindas di bumi sendiri. Para pejuang Islam Pathani mula mengangkat senjata secara gerila apabila pentadbiran Siam merombak ketujuh-tujuh wilayah kecil di Patani. Setelah Raja Pathani terakhir Tengku Abdul Kadir berundur ke Kota Bharu, wilayah selatan Thai ditadbir oleh Phraya Decha-Nuchit pada tahun 1906. Dengan itu berakhirlah wilayah Melayu-Islam, Pathani Darul Makrif.

Sejak tahun 1906, wilayah selatan Thai berada dalam keadaan bergolak terutamanya pada akhir 1960 dan awal 1970an. Pada 30 September 1969, polis Thai menangkap 51 orang yang disyaki penganas komunis dan Islam setelah Perdana Menteri Thai mengisytiharkan ketidakstabilan politik di wilayah selatan. Perjuangan rakyat Pathani dan kekejaman tentera Thai banyak dipaparkan oleh makalah dan akhbar di negara ini. Pemaparan media massa ini telah berjaya menarik simpati orang ramai termasuk para pelajar.

Pada 14 Jun 1971, sudut pidato diadakan oleh PMIUM pada pukul 10.00 pagi sempena lawatan Perdana Menteri Thai, Thanom Kittkachorn ke Kuala Lumpur. Pada pukul 11.30, PMIUM, PKPIM, PBMUM, PMUK dan GPMS (seramai 1000 orang pelajar) berarak ke Lebuhraya Persekutuan. Demonstrasi berakhir apabila polis menahan 19 orang pelajar termasuk Anwar Ibrahim manakala terdapat 6 orang pelajar cedera. Pada 15 Jun 1971, satu demonstrasi (seramai 3000 orang pelajar) diadakan mendesak agar rakan-rakan mereka dibebaskan tetapi dihalang oleh FRU di depan Universiti Malaya.

Pada 16 Jun 1971, PMIUM berusaha mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan membebaskan pelajar yang ditahan dengan memboikot kuliah dan tutorial. Pemboikotan ini dikritik keras oleh Ungku Aziz sebagai anti akademik dari pelajar desa. Sebenarnya, isu Pathani ini cuba digelapkan oleh media massa tempatan. Kerajaan sendiri tidak membenarkan pihak lain campurtangan dalam isu Pathani kerana kerajaan sendiri mengamalkan dasar tidak campurtangan bagi menjaga sensitiviti negara jiran. Demonstrasi ini bersifat perkauman pada mulanya kerana membincangkan persoalan umat Islam. Sifat perkauman ini berubah kepada sifat kemanusiaan apabila hak autonomi universiti dan hak kebebasan pelajar dinodai oleh polis setelah peristiwa penangkapan pimpinan pelajar. Oleh sebab itu, PMUM dan Kelab Sosialis telah menyertai demonstrasi pada 15 dan 16 Jun 1971 atas sifat kemanusiaan.

ISU AFGHANISTAN

Pada 31 Disember 1979 Rusia telah menceroboh wilayah Afghanistan telah dikutuk oleh warga dunia seperti di India, Iran, Jerman, Indonesia, dan Sudan. Di Malaysia, ABIM , PMUKM dan PKIPM [bawah pimpinan Fuad Hasan, kini Presiden Majlis Belia Asia] mengutuk kelakuan durjana Soveit dan meminta umat Islam di negara ini bersatu menghadapi musuh. Presiden PMUKM, Fadullah Shuib meminta agar bantuan segera dikumpul bagi membantu perjuangan rakyat Afghan semasa demonstrasi aman di kampus UKM [dihadiri 1000 orang pelajar].

Pada 8 Januari 1980, gabungan persatuan pelajar dan belia termasuk PMUM dan ABIM merancang mengadakan perhimpunan raksasa. Perhimpunan ini di bawah pimpinan saudara Anwar Ibrahim. Seramai 5000 orang hadir memberi sokongan dan melaungkan kalimah Allahu Akbar. Pidato malam tersebut diberikan oleh tetamu-tetamu khas termasuk Mufti Kuwait dan mereka secara muafakat mendesak agar Soviet berundur daripada Afghanistan. Sebanyak $6100 dikumpulkan bagi sumbangan Tabung Afghanistan. Keesokkan paginya, Perhimpunan Perpaduan Islam Anti Soviet diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru dan slogan-slogan seperti ‘Hapuskan Soviet’ dan ‘Hari ini Afhganistan, esok Malaysia’ terus bergema. Perjuangan gerakan pelajar diteruskan di kampus masing-masing terutamanya oleh PMUTM [dihadiri 200 pelajar dibawah pimpinan Dzulkifli Mohamad], KSITM [dihadiri 3000 orang pelajar dibawah pimpinan Khalid Jaafar, kini tokoh IKD] dan PMUM.

ISU PESTARIA KEBAJIKAN

Pestaria Kebajikan dibuat sempena majlis konvoksyen universiti [sekarang, ESKUM]. Kelaziman pestaria mempunyai program bercorak maksiat termasuk judi, konsert, arak dan ratu cantik. Lantaran itu, kelompok Islamis selalu menentang program yang bertentangan dengan Islam sehingga mencetuskan konflik dengan penguasa universiti. Pestaria paling bersih daripada maksiat dalam era 1980an hanya mampu dilakukan pada tahun 1986 sahaja di bawah pimpinan kelompok Islamis. Pestaria 1980 dijalan pada 19 Jun hingga 22 Jun dan disertai makan malam amal pada 23 Jun 1980. Pestaria ini bertujuan bagi mengutip derma untuk rumah-rumah kebajikan.

Permasalahan pestaria 1980 berlaku kerana pestaria itu belum mendapat kelulusan daripada MPP tetapi pihak tertentu (Gabungan Mahasiswa yang disokong oleh HEP) cuba membuat seperti pestaria tersebut sudah diluluskan. Bagi meluluskan program itu sekurang-kurang 14 undi diperlukan. Pihak HEP dan Gabungan Mahasiswa telah bekerjasama menjalankan pestaria dengan meminggirkan suara ahli MPP termasuk Presidennya, Yazid Othman [kini, aktif dalam persatuan wartawan di KL]. Menurut Yazid Othman, beliau kecewa Gabungan Mahasiswa dan HEP menggunakan nama Ungku Aziz untuk majlis makan malam amal yang diadakan pada 23 Jun 1980 dan nama Sultanah Kedah sebagai penaung pestaria itu dengan memasukkan acara judi. Beliau tidak kisah Gabungan Mahasiswa ingin melaksanakan program tersebut dengan syarat bersungguh-sungguh mencegah acara judi [watan, 20.6.1980].

Pihak Barisan Mahasiswa yang memimpin PMUM bertindak tegas cuba menghapuskan judi sebagaimana termaktub dalam AUKU 1971: Akta 30, Bahagian 1, Perkara 15. Cubaan ini menghadapi cabaran yang hebat dimana banyak pihak seperti Gabungan Mahasiswa, HEP dan akhbar tempatan mengecam kewibawaan kerajaan pelajar Islam. Pihak Barisan PMUM telah mengarahkan gerai permainan berunsur judi milik PMUM dihentikan pada hari Khamis. Mesyuarat tergempar dilangsungkan pada pukul 1.30 pagi tetapi Barisan PMUM gagal menghalang unsur perjudian apabila TNC, Zainal Kling menggunakan kuasa mutlaknya dengan membenarkan amalan tersebut. Bagi mereka, usaha pihak Barisan PMUM sebagai satu kegagalan dan tidak menarik keuntungan seperti tahun-tahun lalu.

PMUM memperjuangkan moral dan etika yang sihat dengan kepatuhan prinsip-prinsip Islam bukannya keuntungan semata-mata. Natijahnya, Yazid Othman dibicarakan di mahkamah Universiti Malaya pada 19 Julai 1980 atas tuduhan menuduh HEP mencemari nama Sultanah Kedah dan membuat kenyataan keras terhadap Musa Hitam tentang pengharaman penceramah bukan anggota kerajaan di kampus. Mahkamah universiti telah mendenda Yazid Othman sebanyak $75 ringgit melalui surat bertarikh 18 Ogos 1980 walaupun ramai pelajar beranggapan Yazid akan digantung atau dibuang.

Dalam Pestaria 1983 pula tercetus kontroversi apabila pihak universiti membuat perjanjian dengan Anita Sarawak tanpa pengetahuan PMUM. PMUM bertindak memulau Pestaria 1983 kerana bertentangan dengan moral. PBMUM, PKPIM, ABIM dan Persatuan Mahasiswa Pahang menyokong pendirian PMUM. Presiden PBMUM, Saifuddin Abdullah mengecam TNC Mohd Yunus Mohd Nor kerana membelakangi PMUM dan program itu menjuruskan mahasiswa ke arah maksiat. Pada tahun 1985 pula, PMUM (dikuasai oleh Nasionalis) mengadakan konsert Sudirman bagi mengisi Tabung Mangsa Kebuluran di Afrika. Pada 1.8.1985, PMIUM melalui Setiausaha Agungnya, Mohd Saad Hashim membuat bantahan menentang konsert ini kerana Islam tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara walaupun tujuannya memungut derma. Namun, Naib Canselor meneruskan program ini. Secara jelas, program maksiat dalam Pestaria seperti konsert dan judi tidak dapat dihapuskan kerana HEP sendiri membentengi program maksiat tersebut.

DEMONSTRASI ANTI ISRAEL

Serangan Israel ke atas Lebanon Selatan dilakukan pada 5 Jun 1982 apabila sebanyak 200 buah kereta kebal dan 90,000 ribu askar mengempur kedudukan pejuang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Matlamat Israel adalah menghancurkan infrastruktur PLO yang terdapat di Lebanon Selatan tetapi tentera Israel terus mara ke Beirut Selatan dan Timur dimana mereka dan tentera Kristian Falangis yang dipimpin oleh Pierre Gemayer mengepung Beirut. Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata pada pada 11 Jun 1982 tetapi mencabul perjanjian ini. Tindakan ganas Israel mendapat kutukan dari negara-negara di dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Liga Muslim Sedunia dan Malaysia sendiri.

Tindakan Israel membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia termasuk golongan pelajar. PMUM, PMUKM [seramai 500 orang cuba merempuh masuk AIA], PMUPM [dibawah pimpinan Presidennya, Ishak Abas] dan ABIM melontarkan kemarahan di medan demonstrasi sama ada di kampus dan jalan raya. PMUM mengorak langkah pertama mengadakan demonstrasi di depan Bangunan AIA, Jalan Ampang selepas solat Jumaat pada 2 Julai 1982. Presiden PMUM, Ahmad Shabery Cheek [kini, ahli parlimen Kemaman, UMNO] mendesak agar Amerika memberhentikan bantuan senjata kepada Israel. Seramai 1000 orang pelajar ini melaungkan takbir dan slogan anti Amerika seperti ‘Reagen! Keluar Amerika’. Bagi mengurangkan bebanan pelarian-pelarian mangsa perang, PMUM juga mengadakan Tabung Perpaduan Rakyat Palestin.


MENEGAK HAK ASASI PELAJAR


Pelajar cuba menegak hak mereka sebagai warga universiti yang dewasa dan matang. PMUM sebagai badan induk pelajar mahu hak asasi di universiti dipelihara. Oleh sebab itu, PMUM mendesak agar kerajaan mengisytiharkan 10 Disember sebagai hari hak asasi selaras pengistiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di peringkat antarabangsa. Perjuangan hak asasi manusia membawa satu peringkat baru di kalangan pelajar. Mereka lebih prihatin dengan permasalahan semasa dan bercorak global. Sejajar perjuangan hak asasi kemanusiaan, PMUM mendesak agar perundangan yang menyekat hak asasi seperti AUKU, Akta Polis dan ISA dikaji semula. Ramachelvam sebagai Pemangku Setiausaha Agung PMUM mengatakan pelajar dibelenggu oleh AUKU yang mengongkong pemikiran pelajar.

PMUM sesi 1981/82 mendesak AUKU pindaan 1975 dirujuk bahagian III perkara 15 dan 16 dimansuhkan. Segala kemudahan dan hak asasi PMUM sebelum akta dikembali semula seperti perkhidmatan Bas, bangunan Baktisiswa dan hak kewangan sendiri. Hak untuk berforum juga terhad. Walaupun PMUM pernah menganjur debat isu semasa bertajuk ‘Politik Malaysia: ke arah mana?’ tetapi pengawalan HEP masih ketat. Buktinya apabila PMUM mahu mengadakan Kongres Mahasiswa peringkat nasional, HEP telah menolak permintaan PMUM tanpa sebarang alasan walaupun Kementerian Pendidikan sendiri tidak menghalang. Pihak HEP bersetuju jika Naib Canselor bersetuju mengdakan kongres tersebut. Perkara ini menunjuk kedangkalan HEP kerana program yang diadakan di Universti Malaya harus mendapat kebenaran pentadbiran Universiti Malaya bukannya Naib Canselor universiti lain.

Kes pencabulan hak asasi pelajar yang cuba penulis paparkan ialah kes Yazid Othman, mantan Presiden PMUM sesi 1979/80 yang membuat 2 saman untuk TNC Zainal Kling kerana menganggu tugas-tugas PMUM [watan, 14.4.1981]. Saman susulan dilakukan oleh EXCO kanan PMUM 1979/80, Muhamad Nur Anuar yang menegaskan HEP menekan dan mengongkong pelajar. Selain isu judi dalam Pestaria 1980, TNC didakwa menekan penerbitan majalah Varsiti walaupun telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan dilulus sendiri oleh HEP. Penahanan majalah Varsiti 1980 belaku semasa hampir pilihan raya kampus.

Kes kedua, pada 16 Mac 1985, pelajar Universiti Malaya berkumpul di depan DTC membantah pencabulan hak asasi pelajar dan kebebasan akademik. Perhimpunan ini dilakukan bagi mendesak pihak pentadbir varsiti agar menarik balik tuduhan terhadap rakan-rakan mereka. Seramai 14 orang pelajar termasuk seorang siswi yang terdiri daripada pelajar tahun akhir dibicarakan kerana menonton video berbau politik bersama 50 pelajar yang lain di Kolej Pertama. Video itu memaparkan pengebumian Osman Taib yang terbunuh ekoran pengaduhan di Lubuk Tapah semasa pilihan raya kecil Padang Terap. Tontonan itu dikatakan menganggu keselamatan dan kesentosaan varsiti. Mantan Presiden PMUM, Takiyuddin Hasan mengatakan ia merupakan satu pencabulan pihak pentadbir pro UMNO kerana didalangi oleh Senator Ghani Osman dan Puan Jamilah (bekas pengetua dan pengetua kolej) yang terkenal pro UMNO.

Isu penginapan pelajar antara isu hangat pada tahun 1986. Penginapan tidak mencukupi dan kemudahan di kolej pada tahap minima menyebabkan pelajar memprotes pihak pentadbiran. Isu penginapan pelajar tercetus semasa kempen pilihan raya umum tahun 1986. Seramai 400 orang pelajar berdemonstrasi secara aman di Kolej Seksyen 17 apabila kemudahan asas seperti air tidak mencukupi. Pada 7 Julai 1986, seramai 600 orang pelajar berdemonstrasi mendesak pentadbiran memyediakan lebih banyak tempat penginapan tetapi Ungku Aziz telah membuat polemik baru dengan menuduh PAS mendalangi demonstrasi itu [Utusan Malaysia,11.7.1986]. PAS membidas pentadbiran Universiti Malaya yang cuba mengalihkan kelemahan mereka dalam pentadbiran kepada pengaruh PAS dalam demonstrasi. Nakhaie Ahmad [dulu PAS, kini UMNO] menafikan keterlibatan PAS dalam mempengaruhi pelajar.

Isu pemakaian purdah merupakan isu yang sensitif bagi gerakan pelajar Islam yang mendokongi idea kesyumulan Islam. Penguasa Universiti Malaya telah mewajibkan larangan pemakaian purdah semasa kuliah, tutorial, makmal dan perpustakaan. Isu pemakaian purdah memuncak apabila pihak pentadbir UTM memecat Setiausaha Agung PMUTM, Ahmad Lufti Othman [kini, penulis politik] pada 2 Jun 1986 apabila mempertahankan pemakaian purdah di kampus UTM. Satu demonstrasi diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemecatan Lufti yang disertai ahli gabungan BBMN. PMUM dan PMUTM cuba mendapat bantuan guaman untuk membela Lufti. Timbalan Presiden PMUM, Che Johan Che Pa menyatakan PMUM akan menyediakan bantuan kewangan untuk menyeret pihak pentadbiran UTM ke mahkamah. Isu purdah cuba digelapkan oleh media massa arus perdana berikutan pilihanraya umum 1986.



KECAMAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM TERHADAP KERAJAAN


Gerakan pelajar di Universiti Malaya banyak membuat kenyataan mengecam penguasa (kerajaan) terutamanya keceluparan para menteri semasa mengulas sesuatu isu. PBMUM telah mengecam kenyataan bertulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Suhaimi Kamaruddin [Ketua Pemuda UMNO] di Parlimen pada 14 Oktober 1982 yang bersifat menghina hukum Allah. Suhaimi menyebut;

‘Perundangan Islam di negara ini dilaksanakan mengikut sunnah nabi mengambil kira kedudukan penganut Islam dan kemanusiaan
[watan, 22.10.1982]

Setiausaha Agung PBMUM, Husam Musa [kini, EXCO Kerajaan Kelantan] membidas kenyataan ini dengan menyifatkan alasan ekonomi dan siasah (politik Malaysia bersifat plural) bukanlah alasan untuk menidakkan hukum Allah. PBMUM mendesak agar Majlis Fatwa mengambilkan tindakan terhadap Suhaimi. Selain kenyataan Suhaimi, PMIUM juga mengecam kenyataan Musa Hitam yang menolak seruan PMIUM di bawah pimpinan Ahmad Shabery Cheek [kini, Ahli Parlimen UMNO, Kemaman] telah mendesak agar kerajaan mengkaji semula kanun kesiksaan dan kanun persediaan Jenayah atas alasan untuk keharmonian kaum. PMIUM menganggap kanun ini diperalatkan oleh kerajaan untuk menindas pembangkang dalam isu kafir mengkafir [watan, 21.12.1982]. Tunku Abdul Rahman turut dikecam kerana mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Islam dalam kolum yang bertajuk ‘Jangan Jadikan Malaysia Sebagai Negara Islam Tulen’ yang jelas menyalahi syariat dan mencemari kesucian agama Islam. Lantaran itu, PMIUM mendesak agar Tunku menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf [watan, 15.3.1983].

Kes kedua, Menteri Perusahaan, Rafidah Aziz mengecam golongan pelajar universiti yang gagal bertindak membawa masyarakat ke arah taraf hidup baik di dalam forum ‘Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar dan Ejen Perubahan untuk Membaiki Masyarakat’. Rafidah mengkritik pelajar universiti yang pasif dan tidak mempunyai kesedaran akan peranan mereka membaiki masyarakat.[Harian Nasional, 16.1.1984]. Pelajar hanya menggunakan AUKU sebagai alasan untuk menutup kelemahan.

Presiden PMUM, Takiyuddin Hasan membidas kenyataan Rafidah kerana pelajar banyak melakukan aktiviti ke arah membina masyarakat tetapi tidak mencapai matlamat disebabkan AUKU. AUKU dilihat sebagai regalia untuk menyekat kebebasan kakitangan dan pelajar dalam memyuarakan kritikan membina kepada kerajaan. Perkara ini pernah didebatkan oleh Koh Tsu Koon (wakil Barisan Nasional Tanjung) di Parlimen. AUKU menelurkan sifat kurang peduli mengenai kebangunan politik dan sosio-ekonomi negara.

PMUM menegaskan mereka cuba membimbing masyarakat dengan mengadakan kelas bimbingan untuk pelajar sekolah, khidmat kesihatan dan khidmat nasihat pertanian moden melalui program baktisiswa. Namun, kemurnian hasrat PMUM selalu digagalkan oleh karenah birokrasi yang cuba menghalang ketelusan program. Contoh, pelajar tidak boleh mendedahkan bagaimana penyelewengan padi berlaku. Oleh itu, PMUM menyangkal kenyataan melulu Rafidah.



SERANGAN AMERIKA SYARIKAT KE ATAS LIBYA

Konfrantasi Amerika dengan Libya semakin memuncak pada tahun 1986 berikutan tuduhan Amerika terhadap Libya sebagai penaja keganasan sedunia. Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dianggap berbahaya dan mengancam keamanan dan kesejahteraan dunia. Walau bagaimanapun, hubungan Amerika dengan Libya telah dingin sebelum tahun 1980an lagi, api kemarahan Amerika semakin membara apabila Libya menyerang pesawat Amerika di Teluk Sidra pada 25 Mac 1986, pengeboman disko di Berlin dan pemgeboman pesawat TWA milik Amerika di ruang angkasa Greek.

Pada 8 April 1986, Amerika menimbang menyerang Libya dan menghantar dua buah kapal pengangkut pesawat ke Laut Mediterrean. Pada 15 April 1986, sebanyak 30 buah pesawat Amerika yang membawa bom seberat 800 kilogram mengempur Istana Presiden Libya menyebabkan 2 anak presiden cedera dan seramai 100 orang terbunuh. Namun, Gaddafi terselamat daripada maut.

Tindakan ganas Amerika membawa kemarahan kepada masyarakat dunia termasuk di Malaysia. Pertubuhan-pertubuhan di Malaysia seperti UMNO, ABIM, Majlis Belia Malaysia dan PKPIM [Naib Presiden, Nizal Mohamad mengecam tindakan Amerika] telah mengutuk serangan Amerika. Pada 18 April 1986, PMUM mengadakan demonstrasi di Baktisiswa dengan kelulusan HEP. Selepas Solat Jumaat, kepimpinan pelajar PMUM, PMUKM, PMUPM dan PMUTM telah berkumpul di kedutaan Amerika. Mereka melaungkan takbir, ‘America Child Killer’ dan ‘bunuh Reagen’. Seramai empat orang pemimpin pelajar dibenarkan masuk untuk memberi memorandum bantahan.

Akhbar tempatan menamakan kumpulan pelajar ini sebagai Gabungan Pelajar-pelajar Universiti Seluruh Malaysia tetapi menurut Zulkifli Yusof [kini, pensyarah APIUM], kumpulan pelajar ini adalah Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) yang dianggotai oleh Presiden MPP di kampus-kampus. Antara pemimpin lain BBMN ialah Idris Ahmad (dari PMUKM, kini Timbalan Ketua Pemuda PAS) dan Saifuddin Nasution dari PMUPM (seorang orator yang hebat, mantan EXCO Pemuda UMNO dan kini Naib Presiden Parti Keadilan Nasional). Kebanyakan kampus pada masa ini dikuasai oleh kumpulan Islamis, penubuhan BBMN memudahkan pelajar mengembleng tenaga bagi isu nasional yang memerlukan kebersamaan.


DEMONSTRASI ANTI-KONSERT

GMI amat menentang konsert berunsur maksiat di kampus-kampus di seluruh negara. Dalam konteks Universiti Malaya, PMIUM banyak melakukan bantahan terhadap konsert seperti konsert Sudirman 1985, konsert Headwind 1987 dan konsert Sheila Majid 1989. Walaupun PMIUM mengadakan bantahan, pihak HEP masih meneruskan konsert sehingga GMI terpaksa mengadakan demonstrasi. Penentangan terunggul terhadap konsert oleh GMI semasa konsert Sheila Majid pada tahun 1989 dimana mahasiswa Islamis hampir sahaja mengorban pengajian dan masa depan mereka [kini, kebanyakan tokoh pelajar Islamis tersebut menjadi pensyarah].

Pada 31 Ogos 1989, Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan UM, Zubir Ali mengadakan kenyataan untuk mengadakan konsert dengan mejemput artis kontroversi, Sheila Majid. Sheila Majid sehingga sekarang terkenal dengan pakaian menjolok mata dan amat sudi jika dijunjung oleh para penari. Pada 4 September 1989, PMIUM mengadakan sidang media tetapi hanya dihadiri oleh Harakah untuk menyatakan bantahan. Tepat jam 10 pagi pada 5 September 1989, PMIUM bersama 24 pemimpin persatuan mahasiswa termasuk 11 orang presiden kolej menghantar memorandum bantahan kepada HEP tetapi tidak disertai oleh Presiden PMUM, Shamsuddin Moner. Dato TNC, Abdul Rashid Ahmad menolak bantahan oleh PMIUM dan pimpinan mahasiswa.

Pada 7 September 1989, mesyuarat tertinggi PMIUM memutuskan kaedah kekerasan perlu dilakukan dan persediaan untuk demonstrasi mula dirancang. Pada 9 September 1989 gendang perang saraf mula dipalu oleh PMIUM di surau-surau dengan ceramah dan risalah-risalah bantahan. Pada 10 September 1989 PMIUM mengadakan demonstrasi di hadapan Dewan Tunku Canselor [DTC] sebelum konsert Sheila dimulakan dengan sokongan PMAPIUM dan PMKUM. Mahasiswa mula berkumpul jam 7.50 dan tepat jam 8.00 malam, Jalal Busri dari Fakulti Sains dan penginap Kolej Za’ba memulakan bantahan dengan melaungkan takbir. Takbir ini disambut dengan bersemangat oleh siswa-siswi yang lain. Kemudian Jalal Busri memimpin sembahyang hajat di depan DTC dengan kehadiran 1000 orang pelajar.

Keadaan di Universiti Malaya semakin tegang, mahasiswa memekik slogan anti konsert, ‘Kami Benci Sheila’ dan ‘Universiti Malaya Bukan Tempat Maksiat’. Para pentadbir UM sendiri gagal menyuraikan mahasiswa menyebabkan sepasukan Unit Tindakan Ringan tiba pada jam 10.00 malam. Semasa mahasiswa bertahlil polis menyerbu dan berjaya menangkap 22 orang pelajar termasuk 2 orang EXCO PMIUM. Para mahasiswa diikat jamin pada keesokkan harinya tetapi pada 15 September 1989, kedua-dua EXCO PMIUM iaitu Jamali Adnan [Setiausaha Agung] dan Jamaluddin Ramli [Bendahari] telah dikenakan tahanan ISA setelah terperangkap dengan helah polis untuk menyoal siasat di balai polis Jalan Pantai. Inilah julung kali ISA dikenakan kepada mahasiswa selepas kebangkitan mahasiswa pada tahun 1974. Paling menyedihkan, Menteri Pendidikan semasa kejadian kes ini adalah tokoh lagenda mahasiswa, Anwar Ibrahim iaitu seorang yang paling lantang mengutuk ISA dan AUKU semasa memimpin gerakan mahasiswa-belia.


ISU TANAH PANTAI KUNDOR, MELAKA.

Jika mahasiswa sosialis pada akhir tahun 1960an boleh berbangga dengan isu tanah Teluk Gong, mahasiswa Islamis juga menunjukkan belang mereka dalam isu tanah rakyat semasa era 1990an di Pantai Kundor, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1992 secara sewenang-wenangnya untuk merampas tanah rakyat nelayan. Dalam tempoh 1991 hingga 1994, pelbagai cara digunakan untuk merampas tanah nelayan seperti pemotongan bekalan air, elektrik, telefon, Pos dan sekatan pengangkutan awam ke kampung Pantai Kundor. Akibat daripada itu, masyarakat kampung terpaksa bergelap dan menggunakan perigi dalam kehidupan seharian mereka. Pada 18 Ogos 1994, pihak berkuasa menangkap 12 orang penduduk kampung dan mengancam penduduk dengan anjing. Tindakan rampasan tanah ini tidak wajar kerana tanah yang dirampas termasuk tanah wakaf, dua buah masjid iaitu Masjid kampung Kundor dan masjid kampung Pantai Merah.

Pada 10 September 1994, negara digegarkan dengan demonstrasi mahasiswa di perkarangan komplek pentadbiran negeri Melaka yang disertai 500 orang pelajar dari Universiti Malaya, UTM, UKM, UPM, USM dan Maahad Tanfiz. Golongan mahasiswa telah bergabung di bawah Jawatankuasa Bertindak Hak Asasi Rakyat, Universiti Tempatan bagi menghalang kerajaan negeri merampas tanah nelayan. Demonstrasi cuba disuraikan oleh polis dibawah pimpinan penolong Pseruhjaya polis Melaka Tengah, Mat Drus Sudin tetapi tidak diendahkan dan pelajar menuntut wakil mereka bertemu Ketua Menteri Melaka, Tan sri Abdul Rahim Tamby Chik tetapi Ketua Menteri berada di luar negara kerana isu pencabulan gadis di bawah umur. Empat wakil pelajar yang diketuai oleh Adly Zahari dan Pengerusi Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar, Dr. Mohd Nasir Hashim dibenar bertemu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jemal Zainal Kassim yang menerima memorandum bantahan.


MAHASISWA MENGGUGAT PASCA 1998

Pemecatan Anwar Ibrahim membawa impak maksima kepada gerakan mahasiwa Islam. PKPIM dan KARISMA-JIM bersama PMI telah bersatu menguatkan pengaruh GMI di kampus nasional. Dalam sub topik pasca 1998 ini, penulis akan merangkumi secara ringkas isu-isu perjuangan GMI sepanjang pasca 1998 sehingga tahun 2001. Tempoh pasca 1998 memaparkan betapa hebatnya dominasi GMI dalam politik kampus dan keterlibatan secara aktif GMI dalam politik nasional. Ia dianggap kemunculan kembali gerakan mahasiswa di pentas politik nasional.

Usaha kerajaan Malaysia untuk merapatkan hubungan dengan Israel disambut dingin oleh gerakan Islam di negara ini. Kerajaan cuba memulihkan hubungan dengan Israel melalui hubungan tidak langsung iaitu kegiatan sukan. Kegiatan sukan ini adalah cubaan kerajaan mengelabui mata rakyat tentang hasrat rahsia kerajaan ingin mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram, Israel. Pada 10 Februari 2000, GAMIS di bawah pimpinan Borhanuddin Ahmad dan Presiden BBMN, Mohd Hafez Abdul Samad telah menghantar memorandum bantahan kehadiran pasukan ping pong Israel ke Malaysia. Memorandum mendapat sokongan 12 badan Jawatankuasa Tertinggi Kolej [JTK] di UM. Kedegilan kerajaan menyebabkan GAMIS, PMUM, BBMN, PMIUM, PKPIM dan GMLN turun berdemonstrasi di Masjid Ar Rahman pada 18 Februari 2000 untuk menjelaskan bantahan mereka. Seramai 1500 orang mahasiswa terlibat dalam demonstrasi ini. Sebenarnya, BBMN, GAMIS dan Dewan Pemuda PAS pernah bekerjasama menentang usaha kerajaan merapati Israel dalam demonstrasi membantah kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia pada 4 April 1997. Demonstrasi itu telah diadakan di Masjid Ar Rahman disertai 1000 orang pelajar. Cubaan Malaysia untuk mengiktiraf negara haram Israel menunjukkan betapa hikporitnya pimpinan sekular di negara ini. Mereka hanya mahu membuncitkan perut ekonomi mereka yang tersedia buncit itu.

ISA adalah akta yang zalim dan digunakan secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan untuk menghapuskan musuh politiknya. Akta ini digunakan secara berleluasa selepas kejatuhan Anwar untuk menghapuskan pengaruh parti oposisi dan kroni Anwar Ibrahim. Pada 23 Oktober 1998, BBMN dan GAMIS telah bekerjasama mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan menghapuskan ISA di Masjid UKM. Pada 1 Ogos 2000, GAMIS, PKPIM, DEMA dan 68 badan NGO Malaysia menghantar memorandum agar ahli parlimen memansuhkan ISA. Pada 1 Mei 2001, Majlis Gerakan Mansuhkan ISA dilancarkan dan ia diterajui oleh Ustaz Fadhil Nor, Presiden PAS yang berkerjasama dengan PRM, DAP, JIM, SUARAM, PUM, PSM dan ABIM. Pada 11 Mei 2001, Mohd. Fuad Ikhwan [Timbalan Presiden BBMN] menghantar memorandum mendesak kerajaan mansuhkan ISA dan bebaskan 10 tahanan ISA kepada Ketua Polis Negara. Susulan itu pada 12 Mei 2001, seramai 200 orang mahasiswa menghadiri perhimpunan pelancaran Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA [GMMI] di dewan kuliah, Akademi Pengajian Islam, UM. Kamarulzaman Abdullah [Presiden GAMIS] dan Muhd Faisal Abdul Rahman [Presiden PMIUM] memberi pidato dalam perhimpunan tersebut yang dihadiri wakil-wakil gerakan mahasiswa seperti DEMA, KARISMA, PKPIM dan PMUM. Pada 8 Jun 2001, GMMI, PKPIM, DEMA, UBU dan SPPUM telah melakukan demonstrasi mansuhkan ISA di Masjid Negara yang dihadiri 200 orang mahasiswa.

Pemecatan Anwar Ibrahim dengan fitnah dan kezaliman yang dilakukan kepadanya menyebabkan GMI bangkit menentang ketidakadilan dan kezaliman kerajaan. Pada 2 Oktober 1998, GAMIS di bawah pimpinan Zaharuddin Abdul Rahman dan PKPIM telah menyertai PAS, PRM, DAP, SUARAM, PUM, PSM dan ABIM untuk menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia [GERAK]. Pada 4 September 1999, GAMIS menyertai perhimpunan Sejuta Reformasi di Dataran Merdeka untuk membantah penahanan Anwar Ibrahim dan penglebaman matanya. Pada 17 September 1999, BBMN dibawah pimpinan Borhan Che Daud dan GAMIS [Presidennya Borhanuddin Ahmad] bersama-sama PKPIM, DEMA, GMLN, KARISMA dan Sekretariat Pelajar PUM [SPPUM] telah mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas DSAI ekoran kes keracunan Anwar Ibrahim di dalam penjara. Pada 12 Oktober 1999, satu perhimpunan menyokong Anwar diadakan di APIUM di bawah pimpinan Zaharuddin Abdul Rahman, Presiden GAMIS dan PMIUM. GMI melalui GAMIS dan PKPIM berkerjasama dengan Universiti Bangsar Utama [UBU, juak sosialis dibawah kelolaan Jonah] memainkan peranan penting untuk mengerakkan perhimpunan Black 14 pada 14 April 2001 dan majlis penyerahan memorandum rawatan Anwar pada 25 Mei 2001. Secara keseluruhannya, GMI merupakan antara tonggak utama yang berjuang untuk mendapat keadilan dan hak asasi untuk Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim membawa satu rahmat kepada gerakan mahasiswa, dikatakan membangkit harimau muda daripada tidurnya. BBMN dan GAMIS sendiri dengan berani mengadakan beberapa siri demonstrasi mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad meletakkan jawatannya. Demonstrasi pertama diadakan di Lebuhraya Persekutuan pada 30 November 1998 dihadiri 1000 orang mahasiswa, kedua di Masjid Ar Rahman pada 9 Oktober 1998 dan ketiga, di luar pintu USM pada 18 Disember 1998. GMI juga mengembalikan keterlibatan secara rasmi gerakan mahasiswa di dalam pilihanraya umum sebagaimana dilakukan oleh mahasiswa sosialis pada pilihanraya umum tahun 1969 dan 1974 dahulu.

GAMIS dan BBMN mengadakan manifesto sendiri yang dihantar pada 21 November 1999 kepada Perdana Menteri dan pada 27 November 1999, BBMN dan GAMIS secara terbuka menghantar memorandum menyokong Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999. Bukan itu sahaja, GAMIS melalui Presidennya, Zaharuddin Abdul Rahman secara terang-terangan berpidato di ceramah PAS [14 Oktober 1999 & 11 Julai 2000] dan forum parti Keadilan [14 Julai 1999]. Selama ini, GMI hanya bergerak di sebalik tabir dalam membantu PAS semasa pilihanraya umum. Keberanian GMI menghadapi risiko boleh dipuji dan dikagumi. Fenomena keluarbiasaan ini agak sukar dilihat dan mungkin sekali dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Perjuangan GMI pasca 1998 cukup lantang walaupun keterlibatan massa lebih kecil daripada gerakan mahasiswa sosialis pada tahun 1974.

Kerinchi Link dibinakan sebagai jalan pintas dari Lebuhraya Persekutuan ke jalan Damansara. Demi sebuah jalan, masjid revolusi [kebanyakan demo GMI bermula di sini dan dianggap mengantikan peranan sudut pidato], Masjid Ar-Rahman terpaksa dikorbankan. GMI dan penduduk kariah Kerinchi berkeras menghalang pembinaan jalan pintas ini. Pada 21 Februari 1999, GAMIS, BBMN dan penduduk kariah mengadakan demonstrasi di hadapan Masjid Ar Rahman. Dalam demo ini, orang ‘bengkeng’ KL, Pak Amjal bermandian air pancut FRU bersama para pendokong GMI. Bantahan ini menyebabkan kerajaan mengubah pelan asal dan membatalkan perobohan Masjid Ar-Rahman. Seranai 3 orang mahasiswa telah ditahan polis termasuk seorang mahasiswa lepasan Universiti Jordan. Selain itu, GMI juga menggagalkan kewujudan ikon penjajahan dan pembaratan di kampus apabila berjaya menghalang pengurusan varsiti daripada mewujudkan restoran MacDonald’s di hadapan fakulti Undang-Undang. Dua kejayaan ini cukup bermakna bagi GMI, kelantangan suara mahasiswa akhirnya menundukkan penguasa yang pekak, buta dan besar kepala dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Pada 27 Februari 1999, BBMN dan GAMIS sekali lagi mengadakan demonstrasi di DTC ekoran pemecatan Dr. Chandra Muzaffar daripada jawatan Pengarah Pusat Dialog Peradaban UM. Pemecatan Dr. Chandra tidak sah kerana beliau masih mempunyai kontrak dengan UM dan pentadbiran UM didakwa terpaksa memecat Dr Chandra atas desakan pihak atasan apabila beliau lantang mengkritik kerajaan dan terlibat dalam ADIL [Dr. Chandra berjaya dalam kes samannya terhadap pentadbiran UM]. Pemecatan Rizal Anan ekoran keterlibatan dalam piliharaya kecil Arau dan pengantungan Mohd Shazwan Dzulkifli kerana terlibat dalam Ikhwan Utara dan GAMIS telah menyebabkan GAMIS dan BBMN mengadakan perhimpunan menyokong Rizal di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Oktober 2000 dan mengutuk pengantungan Shazwan. Pada 19 Januari 2001, 10 badan gabungan BBMN dan I5 gabungan GAMIS menghantar memorandum agar kerajaan menghapuskan caj 4% PTPTN yang dianggap riba dan menindas mahasiswa yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan terus membenarkan PTPTN meneruskan caj 4% walaupun beberapa mufti menyatakan caj seumpama itu berunsurkan riba.

GMI pasca 1998 terus menggugat kerajaan dengan menghantar pelbagai memorandum dan kerap kali mengadakan demonstrasi dalam beberapa isu. Pada 14 Julai 2000, Mohd Fuad Ikhwan mewakili GAMIS dan PAS telah menghantar memorandum membantah kekejaman Amerika di Iraq di Kedutaan AS. Tidak cukup dengan menghantar memorandum, BBMN, GAMIS, PKPIM dan DEMA mengadakan demonstrasi pada 23 Februari 2001 di Masjid Negara kerana pencabulan hak asasi di Iraq. Dalam demonstrasi ini, Muhd Faisal Abdul Rahman [Presiden PMIUM], Mohd Fuad Mohd Ikhwan [Presiden PMUM], Ahmad Saparuddin Yusof [S.U PKPIM], Ahmad Fadly Yusof [Presiden BBMN] dan Abdullah Karim [S.U. PMUKM] telah memberikan pidato di hadapan 1500 orang mahasiswa. Perkara ini membuktikan perjuangan GMI tidak terbelenggu dalam isu kampus dan isu nasional sahaja tetapi GMI turut bersuara dalam isu yang melangkaui sempadan negara.

GMI pasca 1998 bukan sahaja memperjuangkan isu-isu politik tetapi merangkumi isu-isu rakyat yang tertindas dek tindakan rakus dan ganas kerajaan yang mengamalkan dasar pro material [pro bisnes-kapitalis] dan anti Islam. GAMIS dan PAS telah menghantar memorandum terhadap penyalahgunaan wang KWSP yang digunakan untuk membiayai projek mega kerajaan dan menyuntik modal ke atas syarikat pro kerajaan. Memorandum ini dihantar pada 9 November 1998. Pada 20 April 2000 GAMIS dan BBMN turut mengadakan demonstrasi menghalang pembinaan Gereja Shah Alam yang dipercayai antara terbesar di Asia Tenggara. Gereja ini tidak relevan di bandar Shah Alam yang diduduki majoriti penduduk Melayu-Islam. Perhimpunan ini diadakan di Masjid Al I’tisam, Shah Alam.

Harga petroleum kerap kali dinaikkan oleh kerajaan secara beransur-ansur bagi menghalang kemarahan rakyat adalah satu beban besar kepada rakyat bawahan. GAMIS, PAS dan PUM telah menghantar satu memorandum agar kerajaan tidak menaikkan harga petroleum pada 3 Oktober 2000. Kenaikkan harga petroleum akan memberi impak kepada harga barangan harian dan ini akan mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat bawahan. Kerajaan wajar meneruskan subsidi petroleum bagi menjamin kesejahteraan rakyat ataupun menyediakan insentif khas untuk menampung kenaikkan harga petroleum.

Begitulah antara isu-isu yang diperjuangkan oleh GMI pasca 1998. Cukup berani dan bersifat menongkah arus. Tetapi selepas tahun 2001, perjuangan GMI kelihatan kendur dan kembali tidak bermaya seiringan kemalapan isu Anwar Ibrahim. Orang Melayu-Islam memang mudah lupa. Bagi penulis, penangkapan Mohd Fuad Mohd Ikhwan dengan menggunakan ISA [tahanan ISA] dilihat sebagai ‘turning point’ kepada kelesuan GMI. Tidak dinafikan GMI masih mempunyai pimpinan berkarisma seperti Fadly Ramli, Ahmad Fadly Yusuf, Mukhtar Suhaili, Amin Idris dan Mohd Ramadan Fitri tetapi daya karismatik mereka dan kekuatan organisasi GMI bagaikan tidak bermaya untuk mengatasi sekatan, karenah birokrasi dan perang saraf HEP. Mungkin, era selepas penangkapan saudara Fuad Ikhwan boleh dikatakan zaman kelesuan GMI untuk melengkapi teori kitaran peradaban Ibnu Khaldun.

Dalam menjalani tempoh kelesuan ini, GMI haruslah memperkasakan kembali program pemtarbiyahan agar generasi GMI akan datang dapat mengembalikan peranan GMI sebagai jurubicara umat. GMI akan terus berpengaruh dan mendominasi kampus walaupun tidak menguasai tampuk kepimpinan kampus kerana Islam akan terus hidup untuk membersihkan bumi daripada pengabdian sesama manusia. GMI bukanlah pembodek yang mengharapkan habuan material dan pangkat di pejabat HEP. GMI adalah daie, pejuang dan mujahidin yang sedia menghadapi risiko. Allahu Akbar!!!


KONKLUSI

Isu perjuangan di atas bersifat selektif daripada ratusan isu yang diperjuangkan oleh GMI melalui memorandum, forum dan demonstrasi. Isu-isu dilontarkan agar generasi pelapis GMI tidak melupai perjuangan generasi terdahulu. Inilah perjuangan GMI yang dianggap mengenggam bara api, berjuang dan terus berjuang tanpa menghiraukan risiko yang bakal diterima. Perjuangan GMI wajar dihayati dan dikagumi kerana mereka adalah mahasiswa yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan masa depan mereka untuk menongkah arus dengan melafazkan TIDAK dan ZALIM kepada penguasa kampus dan kerajaan. Inilah jiwa GMI yang menentang kemungkaran, penyokong keadilan, kebenaran dan bersifat Islami.

GMI adalah penerus perjuangan pendokong Islam yang merupakan lanjutan sunnah Rasulullah SAW, ikutan para sahabat, alim ulama dan tokoh haraki massa untuk memenangkan Islam di muka bumi. Jangan bicara tentang perjuangan jika takut menghadapi risiko. Lawan tetap lawan.

Disudahi pada akhir bulan Julai 2004[1].




Seandainya si buta memimpin si buta, kedua-duanya akan tersungkur ke dalam longkang.






PENUTUP


Gerakan Mahasiswa Islam: Mengenggam Bara Api adalah paparan sejarah dan idealis mahasiswa yang disudahi diskusinya pada tahun 2004. Perkara yang berlaku pada tahun selepasnya bukan di bawah kawalan penulis. Pemikiran dan diskusi ini adalah satu wadah untuk membangkitkan semangat dan menyegarkan kembali akal-budi mahasiswa agar lebih mengenali perjuangan para mahasiswa sebelum mereka.

Semoga paparan yang diberikan dimanfaat sepenuhnya. Terima risalah ini sebagai diskusi minda bukan punca perbalahan sesama insan dan memarakkan lagi sifat riyak didada manusia yang kerdil.

Penulis memohon keampunan daripada Allah SWT diatas keterlanjuran pena dan kekasaran idea penulis. Semoga mengurniakan hidayah dan keampunan pada kita.

31/08/2006
[1] Kini gerakan mahasiswa seperti GAMIS, DEMA dan KARISMA telah bergabung dalam satu pertubuhan yang dikenali Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM). SMM bersifat berbilang kaum dan kepelbagaian ideologi. Pusat bagi SMM ialah USM, UM dan UPM.

No comments:

Post a Comment